Saturday, February 13, 2010

Islam dan Valentine's Day..


Februari datang lagi. Bagi sesetengah orang, bulan ini adalah sinonim dengan sambutan Hari Kekasih. Dan tidak dinafikan masih juga lagi terdapat penganut Islam meraikan sambutan hari tersebut. Dalam memperkatakan hal ini, Islam secara konsisten melarang umatnya melibatkan diri dari sebarang bentuk sambutan menyerupai sambutan Hari Kekasih.


Tanggal 14 Februari merupakan satu tarikh yang ditunggu-tunggu oleh golongan muda-mudi kononnya inilah detik paling sesuai untuk meluah dan menyatakan rasa kasih dan cinta kepada insan yang mereka cintai. Perbuatan merayakan Valentine's Day adalah bercanggah dengan syara' kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama Kristian dan menjurus kepada kebobrokan akhlak. Pada kebiasaannya, semasa hari ini dirai, pasangan kekasih akan duduk berdua-duaan, membelai antara satu sama, menyatakan komitmen cinta sehinggakan terkadang ianya boleh membawa kepada penzinaan. Na'uzubillahi min za lik.

Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Sejarah Valentine's Day.

Berdasarkan sejarah, jelas membuktikan bahawa sambutan hari ini mempunyai kaitan dengan agama Kristian apabila seorang pader terkenal yang bernama St.Valentine telah mati dibunuh oleh Raja Romawi yang bernama Raja Claudius II pada (268-270M).


St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

Secara kesimpulannya, sambutan Valentine's Day adalah ditegah dan dilarang oleh Islam dalam apa jua keadaan sekalipun. Ianya menjadi satu kewajipan kepada kita untuk menegur asesiapa saja termasuk adik, abang, kakak atau saudara mara kita yang masih berkehendak untuk menyambut perayaan ini. Wallahua'alam

1 comment:

al-Balingi said...
This comment has been removed by the author.