Saturday, April 18, 2009

Non Muslim dan ayat al-Quran..


Perbincangan topik ini sebenarnya sudah 'ketinggalan zaman'. Sepatutnya ia dibuat ketika kerancakan kempen pilihanraya di Bukit Gantang berlangsung. Apa pun bukanlah bertujuan untuk meriuhkan lagi suasana, tetapi hanya sekadar ingin berkongsi pendapat.

Pada asasnya, larangan untuk bukan Islam membaca ayat-ayat al-Quran tidak dinyatakan sama sekali di dalam al-Quran. Maka isu ini sememangnya sesuatu yang subjektif berdasarkan hujah masing-masing dengan merujuk kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman Rasullullan SAW sebagai satu sandaran untuk menguatkan hujah.

Lazimnya isu kontroversi ini melahirkan 2 puak yang berselisih pendapat. Golongan yang menyokong dan golongan yang membangkang. Bagi golongan yang membantah penggunaan ayat suci di kalangan bukan Islam, mereka berpendapat bahawa hanya orang yang beriman dengan kitab suci sahaja boleh membaca ayat al-Quran. Dan tambahan hujah mereka, penggunaan tersebut hanyalah untuk tujuan meraih undi semata. Maka dalam konteks ini, Saudara Nga Kor Ming jelas sekali telah menghina kesucian ayat Allah.

Namun begitu, bagi golongan yang menyokong, mereka berpendapat tidak salah jika ayat suci Allah digunakan untuk kebaikan, untuk menguatkan hujah yang diutarakan memandangkan tiada nas yang jelas melarangnya penggunaannya.

Persoalan 1 : Bolehkan bukan Islam membaca al-Quran?

Saya bukanlah ampuh ke'arifannya dalam isu sebegini. Namun setelah sedikit sebanyak melakukan pembacaan, saya berpendapat bahawa tiada salahnya bagi mereka yang tidak beriman dengan Allah SWT untuk membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran. Pokok pangkalnya, tujuan penggunaan mestilah baik.

Tambahan pula, jika ianya di jadikan sebagai hujah untuk menguatkan pendapat yang diutarakan demi kemaslahatan manusia sejagat. Kenapa tidak? Bukankah Islam itu diturunkan sebagai 'rahmatan lil 'a lamin'. Kerahmatan untuk sekelian alam bermaksud semua makhluk ciptaan Allah temasuk binatang, tumbuhan dan sekelian benda bernyawa, tidak terhad kepada penganut Islam sahaja.

Kita sebagai umat Islam, hendaklah senantiasa menggalakkan sebarang usaha mereka yang bukan Islam untuk membaca dan memahami ayat-ayat suci .Al-Quranul Karim. Menyelami ayat Allah bermaksud mereka semakin mendekati dan menghormati Islam. Ramai individu tersohor dunia memeluk Islam setelah memahami kandungan Al-Quran. Antaranya Malcolm X, Cat Steven, Muhamad Asad, Roger Garody , Murad Hoffman dan ramai lagi.

Menurut Sheikh Ahmad Kutty, pensyarah senior di Institut Islam Toronta,Ontorio, Kanada, bahawa Rasullullah SAW ketika memimpin jajahan Islam di suatu ketika, pernah mengirim surat-surat kepada ketua-ketua negara bukan Islam untuk tujuan dakwah. Di dalam setiap surat yang di utuskan itu terdapat beberapa ayat-ayat al-Quran di tulis supaya ianya di baca oleh ketua-ketua neagara tersebut. Tindakan Rasullullah SAW ini jelas sebagai satu isyarat ayat Allah boleh di baca oleh sesiapa sahaja walaupun mereka tidak beriman dengan agama Allah SWT.

Seorang Professor Fekah di Universiti Islam Antarabangsa, Dr Sano Koutoub Moustapha menyatakan tiada salah kita menyedekahkan satu cetakan Al-Quran kepada bukan Islam untuk dibaca dan dihayati untuk tujuan dakwah. Tetapi kita mesti yakin bahawa al-Quran tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh si penerima dan kita berkeyakinan di pengakhirannya dia akan memeluk Islam. Nah, ini satu lagi hujah bahawa tidak menjadi satu kesalahan jika bukan Islam ingin memetik ayat-ayat al-Quran.

Persoalan 2 : Adakah puak bukan Islam ikhlas dalam membaca ayat al-Quran, ataupun hanya untuk tujuan politik (meraih undi)?

PAS sebagai harakah yang meletakkan Islam sebagai wadah perjuangan, yang telah berkurun lama melibatkan diri dalam arena politik negara, menggunakan pendekatan Islam dalam membentuk agenda perjuangan termasuk menjadikan ayat-ayat suci Allah sebagai hujah untuk berdakwah sekaligus mengajak rakyat supaya bijak memilih pemimpin yang benar-benar berkelayakan dari sudut pandangan Islam.

Maka dengan ini PAS telah lama menggunakan ayat al-Quran untuk tujuan politik. Persoalannya boleh atau tidak? Begitu juga jika sesetengah pihak berpendapat bahawa bukan Islam tidak ikhlas melafazkan ayat--ayat Allah atau lebih bersifat 'ada udang di sebalik batu'. Situasinya adalah sama, cuma yang membezakannya hanyalah Islam dan bukan Islam.

Kenapa mesti memisahkan politik dari Islam? Bukankah politik itu adalah satu juzuk daripada Islam yang merangkumi sekecil-kecil perkara seperti adab memasuki tandas sehinggalah sebesar-besar pembentukan kerajaan dan negara. Jangan sekali-kali beranggapan politik suku-agama suku. Maka, jika Islam tidak memisahkan agama dari politik, manakan bisa kita memisahkan ayat-ayat al-Quran dari urusan memilih pemimpin (pilihanraya).

“Patutkah lagi mereka berkehendak kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tiada sesiapa yang boleh membuat hukum lebih baik daripada Allah.”
(Al-Maidah:50)

Rasulullah SAW sendiri telah melaksanakan pelbagai tugas sebagai seorang pemimpin dengan meletakkan asas-asas Daulah Islamiyah secara sistematik dari semua sudut. Baginda telah mengepalai pelbagai urusan dengan menyusun sistem pertahanan, menjaga keamanan, keadilan dalam masyarakat, menyebarkan ilmu, perbendaraan negara dan memeterai perjanjian-perjanjian terutamanya selepas peristiwa hijrah.


Hadith Nabi :

“Sesungguhnya manusia yang paling dicintai Allah pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduknya dengan aku ialah pemimpin yang adil. Dan manusia yang paling aku benci dan paling jauh tempat duduknya daripada aku ialah pemimpin yang zalim”

Sebagai muslim, pilihan sebenarnya di tangan kita. Terpulang kepada kita samada meraikan golongan bukan Islam mendekati Islam, ataupun sebaliknya, terus menjarakkan mereka dari agama Allah SWT. Wallahu 'a'lam.

Wednesday, April 8, 2009

Selamat kembali Nazri, teruskan perjuangan anda..


Alhamdulillah , segala pujian bagi Allah, akhirnya insan bernama Mohd Nazri Dollah dikembalikan ke pangkuan keluarga tercinta setelah 3 tahun menghuni di Kem Tahanan I.S.A Kemunting. Doa yang dipanjatkan kehadrat ilahi akhirnya diperkenan jua.

Aku mengenali Nazri ketika dibangku sekolah menengah. Kami pernah bersama mewakili pasukan bolasepak sekolah suatu ketika dahulu. Sewaktu di sekolah menengah, ketokohannya tidaklah begitu menyerlah. Tetapi namanya menjadi sebutan ketika keputusan SPM 1993 diumumkan. Beliau merupakan salah seorang pelajar terbaik sekolah.

Berkat usaha gigihnya, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Jordan tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia di dalam bidang pendidikan. Setelah menggenggam segulung ijazah, beliau kembali ke Malaysia dan ditempatkan mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Tawau,Sabah.

Ketika menabur bakti di Sabah, ketokohan serta penguasaan ilmu agama beliau dikagumi penduduk setempat. Suara beliau sering berkumandang di corong-corong radio berkhutbah berkaitan isu agama, mengenai hak dan batil.

Tapi malangnya, semangatnya disentap 3 tahun lalu apabila tahan di bawah ISA atas tuduhan menganggotai Kumpulan Darul Islamiyyah yang bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Penahanan ini cukup mengejutkan dan mengecewakan aku dan rakan-rakan.

Setelah 3 tahun dipisahkan dari keluarga tersayang, alhamdulillah akhirnya beliau di bebaskan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-6 bersama 12 tahanan yang lain. Syukran. Moga segala dugaan dan cabaran yang anda lalui dapat meningkat dan mengukuhkan lagi iman di hati.

SAY NO TO I.S.A